http://www.murai.com.my/
Peluang untuk menghantar Afundi kepada beliau sudah pun tertutup, namun pembabitannya dalam Akademi Fanatsia 6 (AF6) tetap menjadi satu sejarah manis dalam hidupnya serta peminat yang tidak putus-putus menyokong. Itulah Muhammad Faisal Abdullah, 21.
Andai kata Faisal bukannya seorang artis, apakah bidang yang akan diceburinya?
“Sebenarnya saya ada memohon tempat untuk menjadi inspektor (pegawai polis),” kata Faisal.
Jom ikuti temubual murai.com.my dengan Faisal.
MURAI: Apakah perasaan Faisal setelah tersingkir?
FAISAL: Terus-terang, saya tidak kecil hati malah berpuas hati kerana sudah buat yang terbaik dan mengikut apa yang dipelajari dan dikehendaki tenaga pengajar AF6. Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu.
MURAI: Kenapa terlintas masuk AF?
FAISAL: Dua tahun lalu, saya pernah datang uji bakat AF tapi ketika itu belum ada rezeki. Terus terang niat saya masuk AF6 adalah untuk belajar dan menjadi penyanyi yang bagus.
MURAI: Apa rasa anda bila orang cakap suara Faisal macam Ustaz Asri (Rabbani)?
FAISAL: Betul ke? Entahlah, masa uji bakat lagi, ramai yang katakan suara kami sama. Apapun, saya yakin kami cukup berbeza. Lagi pun, saya masih terlalu baru dan perlu banyak lagi belajar untuk mencapai tahap sehebat Ustaz Asri.
MURAI: Mengapa Faisal pilih nasyid? Tak minat genre lain ke?
FAISAL: Sejak darjah 2 lagi, saya dah minat nasyid. Jadi susahlah nak tinggalkan nasyid yang sudah sebati dalam jiwa. Lagi pun, nasyid ini satu nasihat untuk orang. Dari situ saya bermula sehingga berusia 19 tahun dan menganggotai kumpulan FarEast. Kalau nak tahu, saya juga minat lagu berentak slow rock, balada dan etnik.
MURAI: Benarkah Faisal disingkirkan atas sebab masalah disiplin?
FAISAL: Sebenarnya, saya hanya anggota part time dengan FarEast. Serius saya katakan benda itu semua tak betul malah saya sendiri tak pernah tandatangan kontrak apa-apa pun dengan FarEast. Yang ada cuma kontrak hati iaitu sekadar ikhlas tolong kawan-kawan. Kami baru saja setahun bersama. Selain FarEast, Faisal juga pernah menganggotai kumpulan Mursyiden dan menang pertandingan nasyid Marhaban di Astro.
MURAI: Benarkah Faisal pernah berguru dengan seseorang? Siapakah dia?
FAISAL: Sebetulnya, Faisal pernah berguru dengan Ustaz Zainul dari Indonesia selama 3 bulan. Bagaimanapun, Faisal terpaksa berhenti disebakan Ustaz Zainul yang ada urusan di Indonesia. Apapun, Faisal masih lagi belajar taranum dengan anggota FarEast. Sambil belajar, kami selalu berkongsi ilmu.
MURAI: Dengar cerita Faisal hanya mahu popular. Sebab itulah Faisal sertai AF6. Betul ke?
FAISAL: Keluarga pernah pesan pada saya, kalau nak masuk AF sebab popular mereka tidak izinkan. Jadi, tak pernah terlintas langsung untuk cari glamor. Malah, saya rasakan penglibatan saya adalah untuk menguatkan lagi identiti saya supaya boleh terus berjuang dalam bidang nasyid.
MURAI: Selain nasyid, apa lagi bidang yang Faisal mahu ceburi?
FAISAL: Kalau berpeluang, saya nak cuba juga jadi pengacara. Itu pun kalau berbakat. Tapi saya memang bercita-cita nak jadi penyanyi nasyid.
MURAI: Faisal masih muda. Kenapa tidak sambung belajar?
FAISAL: Sebelum ini, saya pernah mengikuti kursus Diploma Engineering di UNISEL. Tapi cuma belajar 3 bulan saja. Lepas itu, saya ambil pula jurusan Sains Komputer di Politek Mara, Cheras, KL. Tapi masih tak tamat lagi. Insya-Allah saya akan sambung semula.
MURAI: Ceritakan sikit zaman persekolahan Faisal?
FAISAL: Masa bersekolah, ramai kawan-kawan gelarkan saya sebagai budak sombong. Buktinya, sewaktu di tingkatan 3 dan 4, ibu bapa saya pernah dipanggil ke sekolah gara-gara saya berat mulut untuk bercakap dan terlalu pendiam. Saya pernah belajar di Sekolah Rendah dan Menengah Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Keifli AF3 tu satu sekolah dengan Faisal.
MURAI: Kalau bukan penyanyi, apa pekerjaan Faisal?
FAISAL: Rasanya polis. Sebenarnya saya ada mohon nak jadi inspektor polis. Saya memang minat dalam bidang kepolisan sebab ayah, abang dan 2 kakak Faisal bertugas sebagai polis.
MURAI: Siapakah artis lelaki yang Faisal suka?
FAISAL: Ustaz Asrilah. Kadang-kadang tu, saya layan juga lagu berentak slow rock. Saya suka Hattan.
MURAI: Bagaimana pula dengan artis wanita?
FAISAL: Kalau boleh, saya nak berduet dengan Datuk Sharifah Aini. Nyanyi lagu Bunga Tanjung. Faisal kagum sangat dengan bakat dan suaranya yang merdu itu.
MURAI: Faisal sudah ada teman istimewa?
FAISAL: Setakat ini, saya masih belum lagi terfikir untuk ada kekasih. Saya mahu fokus pada kerjaya dulu.
MURAI: Ciri-ciri calon isteri untuk Faisal?
FAISAL: Pertama mestilah bertudung. Kedua, kena ‘wajib’ pandai masak. Inilah perkara penting untuk jadi isteri saya (ketawa).
Kepada GengMurai, jangan lupa melawat blog kelab peminat (FC) Faisal kerana beliau baru saja mengemas kini profil dan menulis salam perkenalan di blog tersebut. Tontonlah video Faisal mengenai blognya itu.




