Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

TERSINGKIR daripada meneruskan pembelajaran di Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ketika beraksi di konsert minggu keempat, Sabtu lalu, empunya diri bernama Muhammad Faisal Abdullah atau Faisal tidak sedikitpun berasa terkilan.

Tanpa sebarang riak kecewa yang terbit di wajahnya, anak jati Kuala Lumpur berusia 21 tahun ini sebaliknya, berbangga kerana dia berjaya menampilkan peningkatan pada konsert tersebut berbanding minggu sebelumnya.

Menambahkan lagi rasa bangga, peningkatan yang ditonjolkannya itu mendapat pujian daripada pengetua AF6, Ramli M.S, yang sebelum ini bertegas akan menghentikan persembahan jika kualiti nyanyiannya teruk.

“Walaupun tersingkir, saya rasa puas kerana sudah membuat yang terbaik. Pengetua juga memberitahu yang nyanyian saya pada Sabtu lalu ada peningkatan.

“Sebelum ini, dia pernah cakap akan menghentikan persembahan jika saya menyanyi dengan teruk.

“Syukur kerana akhirnya dapat juga saya memuaskan hatinya,’’ kata Faisal ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Ujar Faisal, selepas disingkirkan, dia menetapkan hala tuju untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan irama nasyid dan lagu-lagu berunsur keagamaan serta nasihat.

Pernah menganggotai kumpulan nasyid Mursyidin dan Far East satu ketika dahulu, Faisal memberitahu, irama nasyid sememangnya sudah sebati dengan hidupnya.

“Sejak di bangku sekolah, saya sudah aktif bernasyid. Untuk itu, jika mahu ‘buang’ nasyid dalam hidup saya memang susah.

“Bagaimanapun, saya akan menunggu keputusan pihak Maestro sama ada mahu saya bernasyid atau sebaliknya.

“Jika tidak, saya akan memilih genre balada, irama nasyid atau slow rock,’’ katanya yang memilih wanita bertudung serta pandai memasak sebagai calon suri hatinya.

‘Makan hati’ dengan kritikan?

Tidak dinafikan, Faisal merupakan antara bekas pelajar AF6 yang banyak menerima kritikan pedas.

Paling malang, dia dikritik sebagai seorang yang buta bunyi (tone deaf).

“Saya tidak kisah dengan kritikan itu. Saya sedar yang saya memasuki AF adalah untuk belajar.

“Saya juga akui yang saya masih lemah dalam bidang seni suara. Oleh itu, segala kritikan saya anggap sebagai pembakar semangat untuk belajar dengan lebih tekun lagi,’’ ujar Faisal.

Fotografi bersama artis wanita

Bakal membawa imej sebagai seorang penyanyi nasyid, Faisal bagaimanapun tidak menolak andai digandingkan dengan artis wanita dalam sesi fotografi.

Namun, Faisal akan menerima tawaran sedemikian dengan bersyarat ia tidak melanggar batas-batas agama.

Dikatakan penyombong dan pendiam

Sementara itu, jika menonton saluran Astro @15 menerusi ruang interaktifnya, beberapa pihak yang menghantar mesej menerusi ruang itu pernah menyatakan Faisal adalah seorang yang sombong dan tidak banyak bercakap.

Sehubungan dengan itu, menjawab kenyataan tersebut, Faisal secara terbuka mengakui dirinya adalah seorang pendiam.

“Saya bukanlah sombong. Dari dulu, saya memang jenis yang susah hendak bermesra dengan orang tidak dikenali. Namun, kalau sudah kenal lama, orang akan tahu siapa saya sebenarnya,’’ jelas Faisal yang merupakan anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik.

Jangkaan finalis AF6

AF6 sudah pun memasuki minggu kelima dan bakal melabuhkan tirainya beberapa minggu sahaja lagi.

Sabtu ini, sembilan pelajar bakal beraksi di pentas konsert AF6 dalam meneruskan perjuangan merebut gelaran juara nanti.

Mereka adalah Mohamad Aliff Mohd. Razali, 22, atau Alif; Nubhan (Ahmad Nubhan Ahmad, 22); Riz (Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22); Saida (Siti Norsaida Tarudin, 32); Nadia (Nadia Haswani Hasnan, 18); Stacy (Stracie Angie Anam, 18); Stanley (Stanley Maringai David Impi, 25); Toi (Khairul Nizam Baharom, 31), dan Hairina Abd. Halim, 44, atau Rina.

Walaupun masih awal untuk menjangkakan siapakah yang bakal berentap di pentas akhir, Faisal sudah pun mempunyai calonnya tersendiri.

Bagi Faisal, mereka yang layak memasuki ke peringkat akhir AF6 adalah Stacy, Nadia, Alif, Riz serta Nubhan.