Harian Metro, Selasa, 15 April 2008
Oleh : Nor Akmar Samudin

Baginya irama itu sudah sebati dengannya sejak jadi penyanyi nasyid ketika di tahun dua di Sekolah Rendah Kebangsaan, Padang Tembak, Kuala Lumpur hinggalah kini.

Menjadikan vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim sebagai idolanya sebelum menyertai AF6, dia menganggotai kumpulan Mursyidin dan pernah menjuarai pertandingan Marhaban Astro. Faisal kemudian dilamar menyertai kumpulan nasyid Far-East, sebagai penyanyi latar.

Katanya, dia tidak terkilan disingkirkan Sabtu lalu malah berpuas hati kerana sudah melakukan yang terbaik seperti dikehendaki Pengetua AF6, Ramli MS.

“Pengetua beritahu saya ada peningkatan. Walaupun sebelum ini pengetua beritahu akan mengeluarkan saya daripada akademi tetapi kata-katanya itu menguatkan lagi semangat saya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Begitu juga apabila pengetua dan pengkritik AF6 komen saya tidak mampu mendengar nada suara sendiri, saya juga tidak berkecil hati kerana baru belajar.

“Sebenarnya cara pembelajaran di akademi tidaklah terlalu sukar kerana kami belajar teori dan praktikal sekali. Sebelum ini saya tidak pernah belajar vokal dan teknik nyanyian yang betul tetapi selepas berada dalam akademi, barulah saya tahu kelemahan diri,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media, semalam.

Merencanakan masa depannya kini, Faisal menyerahkan segalanya kepada syarikat pengurusan, Maestro Talent and Management.

Namun, jauh di sudut hatinya dia mahu meneruskan impiannya sebagai penyanyi nasyid dan sedia bergerak secara solo.

Dalam pada itu, kata Faisal, dia juga tidak kisah mencuba genre lain seperti balada, slow rock dan irama Malaysia.

Melihatkan perawakan pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu yang pendiam dan visinya ingin berdakwah menerusi lagu, timbul persoalan adakah dia sudah bersedia untuk mengharungi ranjau duri persada seni yang berliku.

“Ini percubaan pertama saya menyertai AF dan berjaya. Sejak mula saya sematkan di hati untuk belajar ilmu seni suara dan bukannya mengejar populariti. Proses pembelajaran tiada berkesudahan selagi hayat di kandung badan.

“Barangkali ada yang musykil apabila orang seperti saya masuk AF. Kawan-kawan dan keluarga pun bertanya perkara sama tetapi niat saya hanya satu, ingin belajar vokal dan terus berdakwah menerusi lagu.

“Saya juga perlu menjaga tata susila diri supaya tidak bercanggah dengan prinsip dipegang selama ini. Boleh bergambar dengan artis wanita tetapi tidak boleh terlalu lepas laku. Sekadar yang dibenarkan agama saja.

“Saya juga ingin mencuba bidang pengacaraan dan lakonan,” katanya.

Faisal yang mahir dalam bertaranum dan qasidah juga pernah menyertai uji bakat program realiti Akademi al-Quran musim pertama tetapi sampai peringkat kedua saja.

Bagi mendalami bacaan al-Quran dia pernah berguru dengan Ustaz Zainul daripada Indonesia selama tiga bulan.