mSTAR Online, Selasa, 15 April 2008
Oleh : Nurul Ain Mohd Hussain
PENYINGKIRAN Faisal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Faisal pada konsert minggu keempat Akademi Fantasia (AF) musim keenam ini dianggap menepati ramalan.
Jodoh Faisal dalam rancangan realiti popular ini ternyata tidak panjang apabila dia turut
mengikut jejak tiga orang pelajar Lufya, Naim dan Ika yang sudah tersingkir lebih awal.
Setelah dua minggu berturut-turut menghuni tangga tercoro,t dia tidak mampu lagi diselamatkan oleh kuasa undian sms peminat AF6 walaupun pada konsert keempat ini dia memilih jalan selamat dalam persembahannya.
Dengan menyanyikan lagu tradisional Joget Bunga Melati pada persembahan pembuka tirai konsert mingguan itu, dia dilihat tidak mempunyai kesungguhan dalam memberikan persembahannya.
Biarpun pemilihan lagu tradisional itu dilihat bersesuaian dengan suaranya tapi persembahan tersebut tidak mampu meyakinkan para juri.
Mungkin juga komen juri turut dipengaruhi persembahannya pada minggu keempat di mana dia telah dikritik hebat sehingga digelar tone deaf oleh komposer terkenal, Ajai.
Biar apa pun komen dan kritikan yang diterima oleh jejaka berusia 21 tahun ini, dia tetap menjadikannya sebagai nasihat untuk memperbaiki cara nyanyiannya.

Faisal menyorong beg ketika tersingkir pada konsert AF6 minggu keempat (Foto The Star oleh Azman Ghani)
“Saya sentiasa menerima kritikan serta komen daripada pihak juri mahupun tenaga pengajar di akademi”.
“Bagi saya ia merupakan satu proses pembelajaran dan ia akan menjadi azimat untuk saya memperbaiki cara nyanyian saya selepas ini”.
Ditanya sama ada dia berkecil hati dengan kritikan tersebut, jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur itu mempunyai pandangannya sendiri.
“Saya tidak pernah berkecil hati dengan kritikan daripada mereka. Sebelum ini pengetua AF, Ramli MS pernah menegur cara nyanyian saya”.
“Dia mengugut untuk memberhentikan persembahan saya di dalam kelas hatta dikonsert sekalipun jika saya tidak menyanyi mengikut teknik yang betul.

Faisal menafikan sifat berlagaknya punca dia tersingkir daripada AF
“Tapi saya tahu dia hendak mendidik saya untuk menjadi penyanyi yang boleh menyanyi dengan bagus,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar AF di Bukit Jalil, Isnin lalu.
Bagaimanapun, persembahannya pernah dipuji oleh Adlin Aman Ramli ketika dia menyanyikan lagu Ranggi Metropolis pada konsert minggu kedua.
Adlin memberikan pujian yang positif terhadap persembahannya yang mantap di mana dia memberikan aksi menarik dengan melompat dan mempunyai penguasaan pentas yang baik semasa menyampaikan lagu tersebut.
Pasti ramai yang sudah mengetahui, Faisal merupakan anggota kumpulan nasyid Far East sebelum menyertai AF6 ini.
Dia menyertai kumpulan nasyid tersebut pada tahun 2007 bagi menggantikan seorang ahlinya, Anas yang meneruskan pengajian ke luar negara.
Apa yang menariknya Anas merupakan adik kepada penyanyi rock terkenal, Faizal Tahir.Secara kebetulannya nama mereka serupa tetapi ejaan dan populariti mereka sangat berbeza.
Ketika ditanya tidakkah dia berminat untuk mengecapi populartiti seperti Faizal Tahir, Faisal berkata tujuannya menyertai AF bukanlah untuk mengejar populariti sebaliknya dia ingin mempersembahkan bakat yang ada dalam diri.

Lagu Joget Bunga Melati tidak membawa tuah kepada Faisal pada konsert keempatnya
“Penyertaan saya dalam AF bukanlah untuk mengejar populariti, tetapi untuk memperbaiki cara nyanyian saya,” katanya
Menceritakan mengenai timbulnya minat terhadap lagu nasyid ini, Faisal berkata ketika zaman persekolahannya dia telah menyertai kumpulan nasyid Mursyiden dan ia merupakan batu loncatan kepada dirinya sebelum menyertai kumpulan Far East ketika di sekolah menengah.
Bagi jejaka yang turut meminati sukan bola sepak ini,minat mendalam terhadap lagu berunsur nasyid telah ada dalam diri sejak kecil lagi. Pengaruh tersebut yang membuatkan dirinya sangat menggemari lagu berirama nasyid.
“Saya sangat minat pada lagu-lagu nasyid yang berkonsepkan ketuhanan dan berunsur nasihat. Lagu-lagu sebegini mampu memberi nasihat dan pengajaran kepada peminat di luar sana secara tidak langsung”.
“Namun jika diberi peluang, saya tidak keberatan memilih lagu yang berirama slow rock dan balada” ujar Faisal yang turut meminati penyanyi rock, Awie dan Hattan.

Biarpun persembahannnya lebih baik daripada konsert minggu lalu, namun ia gagal menarik perhatian juri
Menceritakan tentang zaman remajanya, Faisal berkata dia juga nakal seperti remaja lain kerana dia pernah jatuh motosikal ketika merempit di kampungnya.
Insiden tersebut menjadikan dia insaf dan tidak lagi berlumba secara haram. Dia kemudiannya keputusan untuk menyertai kumpulan muzik underground sebelum menyertai kumpulan nasyid.
Mengenai perancangan masa depannya dalam bidang seni selepas tersingkir daripada akademi, Faisal berkata setakat ini, dia masih belum ada perancangan sama ada untuk kembali bersama Far East atau bergerak secara solo.
“Saya belum fikirkan tentang perkara tersebut lagi. Insya-Allah jika ada tawaran, saya akan fikirkan mengenai perkara tersebut kelak,” katanya.
Bercerita mengenai penyingkirannya daripada AF6, jejaka yang pernah bercita-cita menjadi inspektor polis ini berkata, dia sudah mendapat bayangan mengenai penyingkirannya sehari sebelum konsert minggu keempat tersebut berlangsung.
“Saya mengalami mimpi sehari sebelum konsert. Dalam mimpi tersebut saya menarik sebuah beg roda di satu tempat”.
“Saya pasti itulah bayangan yang dapat saya rasakan bahawa saya akan tersingkir dalam konsert minggu tersebut,” ujar Faisal.
Dalam akademi, jejaka kacak ini sering dianggap sombong kerana perwatakannya yang lebih banyak senyap daripada bercakap.

Faisal tenang ketika diumumkan sebagai pelajar tersingkir pada konsert mingguan AF
Ketika ditanya pada empunya diri, Faisal berkata, sememangya karektor dirinya adalah seorang yang senyap dan bercakap hanya bila dirasakan perlu.
“Saya bukanlah sombong seperti yang disangka, tapi memang karektor peribadi saya tidak akan berbual dengan orang yang baru kenal”.
Mengenai cakap-cakap yang mengatakan dia tersingkir dari AF kerana berlagak dalam akademi, Faisal turut menafikannya.
“Saya bukanlah berlagak tapi memang saya pendiam sejak kecil. Dulu semasa di sekolah pun cikgu selalu cakap saya senyap dan pendiam.
“Sehingga mereka memanggil mak dan ayah saya ke sekolah dan bertanya sama ada saya ada masalah atau tidak. Sedangkan itulah karektor saya, seorang pendiam,” katanya.
Namun karektor pendiamnya dilihat bertentangan dengan sikap tegas dan berterus terangnya menegur Riz yang dapat dilihat dalam diari AF6.
“Saya memang seorang yang tegas dan berterus terang dan Riz sendiri faham dan boleh menerima cara saya menegurnya walaupun ada yang melihat ia sebagai satu teguran yang agak kasar”.
“Saya menegur dia sebab saya tidak mahu orang lain turut terasa dengan sikap dia. Rakan-rakan lain di akademi pun faham karektor saya,” kata Faisal.
Menceritakan pengalaman sepanjang di akademi, Faisal mengakui dia rapat dengan Toi dan Alif berbanding pelajar-pelajar lain.
“Bukan saya tidak rapat dengan yang lain cuma dengan Toi, saya sudah anggap dia macam abang dan ayah saya. Dia banyak memberi nasihat kepada saya selama di akademi”.
“Dengan Aliff pula, kami selalu pergi solat bersama-sama dan karektor dia juga macam saya. Sebab itulah saya rapat dengan mereka,” katanya.
Ketika diajukan pertanyaan sama ada dia masih solo atau sudah mempunyai teman istimewa, Faisal mengakui dirinya belum berpunya.
“Saya masih solo dan belum terfikir mengenai teman istimewa. Insya-Allah bila tiba masanya saya akan beritahu. Buat masa ini biarlah saya tumpukan kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
“Bagi saya setakat bercinta ia bukanlah satu perkara yang perlu digembar-gemburkan. Tapi bila perkara seperti saya sudah bersedia hendak berkahwin, saya pasti akan berkongsi berita tersebut dengan peminat,” kata Faisal yang popular dengan tagline ‘Salam’.
Bertanya mengenai ciri-ciri wanita idamannya, Faisal berkata:
“Syarat utama wanita tersebut mestilah bertudung dan wajib pandai masak. Sebab saya suka makan masakan kampung seperti masak lemak cili padi dan saya percaya wanita kekuatan wanita itu akan lebih terserlah bila dia pandai masak,” kata Faisal sambil tersenyum penuh makna.
Ditanya tentang teka-teki siapa yang bakal menjejakkan kaki ke pentas final AF6 nanti, Faisal mempunyai pandangannya tersendiri.
“Saya rasa semua bagus-bagus untuk masuk final. Untuk jadi juara saya tidak pasti sebab ia bergantung kepada undian peminat. Tapi jangkaan saya lima orang yang akan masuk final ialah Stacy, Nadia, Aliff, Riz dan Nubhan,” ujar Faisal.
Setelah tersingkir daripada akademi, Faisal tidak melepaskan peluang megikuti perkembangan rakan-rakannya yang masih meneruskan perjuangan di sana.
Katanya dia sentiasa mendoakan kejayaan teman-temannya di akademi dan mengharapkan mereka membuat persembahan yang terbaik setiap kali konsert tiba.