Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
“MEREKA tidak bekerja keras.” Itu kesimpulan yang diluahkan oleh Pengetua Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Ramli M.S mengenai kualiti persembahan yang ditampilkan oleh 10 pelajar AF di konsert keempat, Sabtu lalu. Selain hambar, apa yang pasti, biarpun sudah memasuki minggu keempat, persembahan yang ditonjolkan oleh hampir keseluruhan pelajar bagaikan memberi satu ‘malapetaka’ kepada AF6.
Bukan untuk menambahkan lagi ‘perisa’ kritikan yang telah sedia ada dilemparkan oleh pengkritik, namun, ia sememangnya amat mengecewakan.
Saksikan sendiri apa yang dihidangkan oleh Stanley atau nama sebenarnya Stanley Maringai David Impi, Siti Norsaida Tarudin (Saida) dan Ahmad Nubhan Ahamad (Nubhan) pada malam itu.
Masih gagal mengawal suara, mereka dilihat hilang fokus dan kemudiannya membawa kepada lontaran suara yang menyakitkan telinga terutamanya Stanley.
Saida yang menyanyikan lagu Hati Kama pula tenggelam di sebalik paduan suara Noraniza Idris yang didatangkan khas bagi berduet dengan pelajar tersebut.
Bagi Nubhan pula, terlalu asyik untuk ‘mementaskan’ aksi menggodanya menerusi lagu Cinta Hampa, vokalnya pula menjadi huru-hara.
Itu belum lagi jika dinilai persembahan Alif, Toi serta Rina yang bertaraf biasa-biasa sahaja.
Secara jelas, ia mencerminkan betapa kemasukan mereka ke AF hanya mahu mengejar glamor semata tanpa memikirkan bagaimana mereka mampu menghadapi cabaran sebenar untuk bergelar artis sebaik menamatkan pembelajaran nanti.
Bagaimanapun, sekalung tahniah kepada Nadia dan Riz kerana berjaya membawakan satu persembahan bertenaga.
Mengulas mengenai apa yang berlaku, Ramli secara berseloroh mengumumkan akan merombak silibus pembelajaran di AF yang membawa kepada pendekatan lebih mudah.
“Minggu ini, kita akan memulakan pendekatan baru. Pendekatan ini akan membuatkan mereka dapat memahami serta belajar dengan lebih cepat dan mudah.
“Bentuk pembelajaran terhadap mereka tidak boleh terlalu formal. Kita akan memudahkan kaedah penyampaian terutama yang berkaitan dengan perkara-perkara teknikal.
“Dengan itu, saya berharap, di konsert kelima nanti, akan ada satu perubahan bagi setiap pelajar,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan konsert AF6 minggu keempat di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, Selangor Sabtu lalu.
Ramli berkata, sikap mengambil ringan tanpa ada usaha yang keras menjadi punca utama kepada kecacatan persembahan yang ditampilkan oleh pelajar.
Merawat Stanley dikritik hebat oleh Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Ning Baizura dan Adlin Aman Ramlie, membuatkan Ramli bertindak pantas membuat pelan perancangan untuk membuang segala ‘badi’ yang mendiami dalam diri Stanley.
Sama seperti Faisal, Stanley akan sentiasa diperhatikan oleh Ramli bagi membolehkan pelajar berusia 25 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak menunjukkan peningkatan.
“Terbeliak mata saya ketika melihat persembahan Stanley. Apa ‘penyakitnya’ pun saya tidak tahu.
“Justeru, saya akan cuba menyedarkan dan memperbaiki segala kelemahan dirinya,” jelasnya.
Stacy dapat lagu baru berjaya menonjolkan daya saing dan kesungguhan yang tinggi sepanjang tiga konsert, Stacy diberikan ‘hadiah’ untuk menyanyikan sebuah lagu baru di konsert minggu keempat lalu.
Lagu berjudul Cinta Khayalan diciptakan khas untuk penyanyi dari Kota Kinabalu, Sabah itu.
Kata Ramli, selain Stacy, sesiapa sahaja boleh diberikan keistimewaan untuk menyanyikan lagu baru andai menampilkan kesungguhan dan bekerja keras.
Penyingkiran Faisal diberikan ‘kelas pemulihan’ oleh Ramli sepanjang sesi latihan sebelum beraksi di konsert minggu keempat, Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdullah, 21, berjaya menunjukkan peningkatan.
Namun begitu, di sebalik kejayaannya menampilkan mutu persembahan yang menarik ketika menyanyikan lagu Joget Bunga Melati berbanding Stanley dan Saida, hayat Faisal di AF6 akhirnya berkubur apabila dia disingkirkan.
“Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Faisal.
“Walaupun tersingkir, Faisal mungkin boleh berjaya di luar nanti jika sentiasa berlatih,” kata Ramli.
Dengan penyingkiran Faisal, konsert kelima AF6, Sabtu ini, bakal menampilkan sembilan pelajar iaitu Nubhan, 22; Saida, 32; Stanley, 25; Khairul Nizam Baharom (Toi), 31; Hairina Abd. Halim (Rina), 44; Mohamad Aliff Mohd. Razali (Alif), 22; Nadia Haswani Hasnan (Nadia), 18; Mohammed Idris Mohd. Zaizizi (Riz), 22; dan Stracie Angie Anam (Stacy), 18.